Thursday, September 10, 2015

Wajah-wajah cemerlang
Oleh ADHAM SHADAN
Pelbagai riak wajah mewarnai saat-saat mendapat keputusan peperiksaan yang cukup mendebarkan.


ANAK yatim piatu Fatin Nur Atika Alias (dua dari kiri) diapit adik-beradiknya menyaksikan kejayaannya memperoleh 5A dan 5B dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Namun, Fatin mengambil keputusan untuk berkahwin kerana kesempitan hidup.


TIADA yang paling mendebarkan bagi seorang pelajar melainkan saat mereka memperoleh keputusan peperiksaan. Kepada yang berusaha bersungguh-sungguh, mungkin mereka sudah boleh menduga hasil kerja keras selama ini.
Namun, adakalanya nasib tidak menyebelahi apabila keputusan yang diperoleh tidak seperti yang dijangka. Justeru, tidak hairanlah apabila kita pernah mendengar kes-kes pelajar yang sanggup membunuh diri kerana kecewa keputusan peperiksaan mereka, walaupun hakikatnya ia tidaklah teruk.
K. KAMALA (kanan) mencium anaknya, Muneswaran Ganesan selepas diumumkan sebagai pelajar cemerlang di Kedah selepas memperoleh 15A dalam peperiksaan SPM di SMK Ibrahim, Sungai Petani, Kedah.


Debaran calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2008 berakhir apabila keputusannya diumumkan minggu lalu.
Benar, banyak wajah ceria, teruja dan mengalirkan air mata kegembiraan dengan hasil keputusan yang diterima. Ini termasuklah para guru mahupun ibu bapa.
Apa yang lebih menyentuh perasaan, bukan semua calon-calon ini datang daripada latar belakang keluarga yang senang atau sempurna sifat mereka.


KEMISKINAN bukan penghalang. Nik Nur Madihah (tengah) diapit oleh bapanya, Nik Mohd Kamal Hussien dan ibu, Mariani Omar.


Namun, mereka berjaya membuktikan segala kekurangan dalam diri bukan penghalang. Bahkan, kekurangan diri tidak sesekali dijadikan penghalang jika ada semangat dan kemahuan.
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 menunjukkan prestasi yang begitu memberangsangkan, manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula ada peningkatan tetapi bilangan pelajar yang mendapat 5A berkurangan. Prestasi STAM pula mengalami kemerosotan.
Nama Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan mungkin paling diingati dalam peperiksaan SPM kali ini. Anak nelayan itu mengagumkan apabila berjaya memperoleh keputusan 19 A1 dan 1 A2. Bagaimanapun, dia kurang satu mata pelajaran berbanding pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.
TE YU TATT dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak membaca keputusan peperiksaannya selepas pengumuman keputusan STPM di Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang.


Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yoke Kuan, Sekinchan, Selangor pula pasti berbangga dengan pencapaian dua pelajarnya, Lim Shu Yong dan Tan Chin Huat yang berjaya memperoleh 16 A1 bagi kesemua mata pelajaran yang diambil. Begitu juga dengan Akira Wong Neng Chun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teong Hua, Sibu, Sarawak yang memperoleh kejayaan serupa.
G. Muneswaran dari SMK Ibrahim, Sungai Petani pula menjadi pelajar bukan Islam pertama memperoleh A1 dalam mata pelajaran Tasawwur Islam. Dia mengambil 15 subjek.
Anak bekas pelarian Vietnam, Khairina Abdullah dari SMK Sultan Sulaiman muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik SPM di Terengganu dengan memperoleh 14 A1.
Tiga pasangan kembar juga mencuri perhatian apabila berjaya memperoleh 11 A1. Mereka ialah Rohaisha dan Rohaimina Jamil dari Negeri Sembilan, Nur Nabilah dan Nor Nabihah Mahfuz dari Selangor serta Muhammad Farid Farhan dan Muhammad Faiz Fikri Sahime dari Perak.
KIRI: Melompat kegirangan. Begitulah reaksi tiga pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa di Alor Setar, Kedah. Mereka ialah Phang Zie Liang (dari kiri), 20, Seow Rong Huang, 20, dan Yee Shy Huey, 19, yang memperoleh keputusan cemerlang 4A dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).


Dalam kalangan pelajar istimewa, calon SPM rabun penglihatan, Mohd Shafiq Sahdon dari Sekolah Menengah Sains Kluang, Johor memperoleh 12A manakala pelajar cacat pendengaran Aghilan Narayanan dari SMK Jalan Bukit, Kajang Selangor mendapat 11A.
Walaupun terpaksa belajar menggunakan kanta dan teleskop sejak berusia lima tahun, ia tidak menghalang Nur Hidayah Daud, memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM. Pelajar Sekolah Menengah Arab Assaiyidah Khadijah, Jasin, Melaka itu menghidap penyakit rabun silau yang serius atau dikenali nystagmus.
Pelajar Cemerlang bagi kategori Pelajar Calon Istimewa Kategori Rabun STPM, Te Yu Tatt dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak pula mengundang sayu mata yang memandang apabila dia perlu melihat keputusan peperiksaannya begitu dekat.
Bagi STPM, sepuluh orang calon terbaik STPM 2008 dipilih menerima anugerah dalam satu majlis di Majlis Peperiksaan Malaysia, Bandar Baru Selayang, Selangor.
Antaranya ialah lima pelajar aliran Sains yang berjaya memperoleh A dalam kesemua mata pelajaran yang diambil. Terdapat 13 mata pelajaran keseluruhannya dalam aliran Sains.
Lim Chew Sia dari Muar terpilih sebagai pelajar terbaik bagi kategori luar bandar.
Keputusan peperiksaan-peperiksaan tersebut juga menyaksikan bahawa kecacatan atau ketidaksempurnaan fizikal bukanlah halangan untuk menggapai kejayaan


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0317&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_02.htm#ixzz3lKueB02i 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment